Rabu, 27 Maret 2013

KOLEKSI CERITA RAKYAT dan NASEHAT





BERUK TUNGGAL

Kononnya, ada sebuah istana terletak di tebing sebatang sungai. Rajanya mempunyai tujuh orang puteri. Baginda amat sayang kepada Puteri Bongsu.

Di tebing sebelah istana ada sebuah pondok buruk. Penghuninya seorang perempuan setengah umur. Kerjanya bertani.

Perempuan itu sangat inginkan seorang anak. Pada suatu hari, dia minum air di sebuah tempurung. Selepas itu dia mengandung lalu melahirkan seekor beruk. Ia dinamakan Beruk Tunggal.

Setelah besar, Beruk Tunggal menolong ibunya bertani. Tahun itu padi menjadi tetapi diserang tikus. Beruk Tunggal menangkap semua tikus yang menyerang padinya. Kemudian dia mencari Raja Tikus. Apabila bertemu, Raja Tikus itu diberi amaran. Raja Tikus ketakutan kerana ia tahu Beruk Tunggal jelmaan seorang anak raja kayangan.

“Hamba tidak tahu huma ini kepunyaan tuanku,” kata Raja Tikus.

“Padi aku sudah habis. Apakah tindakan kamu?” Tanya Beruk Tunggal.

“Hamba akan suruh rakyat hamba mengumpulkan butir emas,” kata Raja Tikus.

“Baiklah, aku terima pemberian itu!” kata Beruk Tunggal. Kemudian, segala tikus itu datang membawa butir emas. Banyaklah emas di pondok Beruk Tunggal.

Beruk Tunggal meminta emaknya meminang puteri raja. Emaknya pun pergi ke istana. Raja terkejut mendengar permohonan perempuan itu. Namun raja menyampaikan juga permohonan itu kepada ketujuh-tujuh orang puterinya.

“Kahwin dengan beruk?” Tanya Puteri Sulung. Puteri yang lain turut hairan. Hanya Puteri Bongsu yang bersopan-santun sahaja yang sanggup menjadi isteri Beruk Tunggal.

Raja dan permaisuri kasihan kepada Puteri Bongsu. Baginda meminta hantaran sebentuk cincin berlian. Pada fikiran raja, tentulah perempuan miskin itu tidak berdaya menyediakannya.

Beruk Tunggal memohon kepada ayahandanya, Raja Kayangan. Pada malam itu, ayahanda Beruk Tunggal menghantar secupak cincin berlian. Emak Beruk Tunggal pun mempersembahkan cincin berlian yang secupak itu ke istana.

Dia meminta baginda memilih sebentuk cincin yang sesuai. Raja tidak dapat mengelak. Puteri Bongsu pun dikahwinkan dengan Beruk Tunggal.

Selepas itu baginda tidak mahu mereka tinggal di istana. Puteri Bongsu mengikut Beruk Tunggal tinggal dipondoknya. Pada malam pertama, Puteri Bongsu menemui sarung beruk. Esoknya, Beruk Tunggal tidak bersarung lagi. Dia bertukar menjadi seorang pemuda yang kacak.

“Kekanda sebenarnya putera Raja Kayangan. Bakarlah sarung beruk itu. Taburkan sedikit debunya di luar pondok. Pintalah sesuka hati adinda,” kata putera Raja Kayangan.

Puteri Bongsu mengikut suruhan putera raja itu. Sebentar itu juga pondoknya bertukar menjadi istana, lengkap dengan taman yang indah.
Pengajaran :
1. Jangan mencuri hak orang lain.
2. Jangan memandang hina kepada orang miskin.
-

BUNGA CENGKIH



Kononnya, disebuah negeri, raja dan sekalian rakyatnya malu untuk bercakap kerana mulut mereka tetap berbau busuk.

“Apakah wabak yang menyerang negeri ini?” tanya raja.

Apabila raja dihadap oleh pembesar dan rakyatnya, semuanya diam membisu. Mereka takut hendak bercakap kerana mulut mereka berbau busuk.

Pada suatu hari, di dalam taman larangan, puteri raja bersama dayang-dayangnya keluar bermain-main. Mereka juga diam tidak bercakap. Mulut mereka semuanya berbau busuk. Tiba-tiba seekor burung murai terbang dan hinggap di sepohon bunga. Murai itu berkicau dengan rancak. Ia seolah-olah sedang bercakap dengan tuan puteri. Puteri raja tetap membisu.

Murai itu berkicau lagi dan mematuk-matuk bunga yang ada di dahan tempat ia berpijak.

Akhirnya puteri raja pergi ke pokok bunga itu. Bunga kecil itu diambil dan dimakannya. Selang beberapa hari dia berbuat begitu, akhirnya bau busuk di mulutnya hilang. Mulutnya berbau wangi pula. Sejak hari itu, puteri raja seorang sahajalah yang tidak malu bercakap-cakap.

Raja pun bertanya akan rahsia puteri baginda itu. Perihal pokok bunga itu pun diceritakan oleh puteri baginda. Sejak itu, baginda memerintahkan rakyatnya menanam dan memakan bunga pokok itu.

Sejak itulah juga penyakit mulut berbau itu hilang. Semua rakyat terlalu gembira. Mereka boleh berkata-kata dan tidaklah diam lagi.

Raja memerintahkan rakyat menanam pokok itu. Akhirnya bunga itu menjadi hasil negeri. Bunga itu dikenali dengan nama bunga cengkih.
Pengajaran :
1. Jangan takut mencuba perkara baru.
2. Fikir selalu keajaiban ciptaan tuhan.
3. Komunikasi amat penting dalam perhubungan.
-

MENGAPA BANGAU KURUS



Pada suatu hari, Raja Sulaiman memanggil semua burung datang mengadap. Semua jenis burung hadir.

“Beta ingin sampaikan berita gembira. Hari ini genaplah seratus purnama beta memerintah. Oleh itu beta ingin beri hadiah istimewa. Kamu boelh minta apa sahaja. Beta akan tunaikan permintaan kamu,” titah Raja Sulaiman. Semua burung berasa gembira. Ada yang bersorak-sorak. Ada yang melompat-lompat.

“Bolehkan patik mendapat bulu yang cantik tuanku? Patik ingin jadi burung paling cantik di dunia,” kata merak.

“Tentu boleh. Beta akan tunaikan permintaan kamu itu,” titah Raja Sulaiman sambil tersenyum.
“Kamu pula hendak apa?” Tanya Raja Sulaiman kepada kelicap.

“Kalau boleh, patik ingin paruh yang panjang,” kata kelicap.

“Kenapa minta paruh yang panjang?” Tanya Raja Sulaiman.

“Patik suka minum madu, tuanku. Kalau paruh patik panjang, senanglah hisap madu bunga,” jawab kelicap,” jawab kelicap.

“Baiklah, beta akan tunaikan permintaan kamu itu, itik. Beta akan beri kamu kaki yang lebar,” jawab Raja Sulaiman.

“Patik ingin sarang yang cantik, tuanku,” kata tempua.

“Kalau begitu, beta akan beri kamu kepandaian membuat sarang,” titah baginda.

“Tuanku, tubuh patik ini kecil. Kalau boleh patik mahu kepala patik berwarna putih. Dari jauh lagi sudah dapat dilihat,” pinta pipit.

“Perkara itu mudah sahaja. Akan beta tunaikan,” titah Raja Sulaiman lagi.

Semua burung telah meminta hajat mereka. Kini Cuma tinggal giliran bangau yang sombong.
“Pintalah segera wahai bangau. Beta pasti tunaikan,” titah Raja Sulaiman.

“Baiklah tuanku. Patik mahu minta makan tujuh hari sekali,” kata bangau.

“Apa? Boleh kamu ulang?” soal Raja Sulaiman. Baginda terkejut.

“Patik mahu minta makan tujuh hari sekali,” kata bangau lagi.

Semua burung yang ada terkejut. Mereka hairan dengan permintaan itu. Raja Sulaiman juga berasa ganjil. Baginda suruh bangau ulangi lagi permintaannya. Bangau tetap berkata seperti itu juga. Akhirnya Raja Sulaiman puas hati. Baginda akan tunaikan permintaan bangau itu.

Esoknya, bangau pergi ke tepi tasik. Ia ingin mencari ikan. Namun, seekor pun dia tidak dapat. Pada hari ketujuh barulah dia dapat seekor.

Kenapa aku susah hendak dapat makanan? Bukankah aku minta banyak makanan daripada baginda? Bisik bangau dalam hati. Tiba-tiba bangau teringat kembali kata-katanya dahulu. Ia meminta makan tujuh hari sekali. Bukan minta makan tujuh kali sehari.

“Aku dah tersalah cakap. Patutlah semua burung hairan. Tak seekor pun tolong betulkan cakap aku. Mungkin kerana aku sombong. Aku menyesal,” kata bangau sendirian.

Mulai hari itu bangau sukar dapat ikan. Badannya semakin kurus. Ia rasa sedih. Kadang-kadang ia berdiri lama dalam air. Ia termenung memikirkan nasibnya. Itulah sebabnya badan bangau kurus.
Pengajaran :
1. Jangan bersikap sombong.
2. Berfikir sebelum membuat keputusan.
3. Terimalah takdir dengan redha.
-

HARIMAU GUNUNG LEDANG



Pada suatu masa, Gunung Ledang terlalu banyak didiami oleh harimau. Ketika harimau gunung itu turun, banyaklah binatang ternakan dibahamnya.

Pada suatu hari, harimau itu turun beramai-ramai dari gunung itu. Sekawan kerbau yang dijaga oleh seorang budak habis dibaham oleh mereka. Orang kaya tuan punya kerbau itu sangat marah.

“Kamu lalai dan tidak menjaga kerbau aku. Kamu mesti ganti semua kerbau yang telah dibaham itu,” kata orang kaya itu dengan marah.

Budak itu sangat susah hati. Sudahlah hidupnya tidak ada tempat berlindung, kini malang pula menimpa. Dia bermenung dibawah sepohon pokok.

“Jangan susah hati. Ambil getah ini dan sapukan kepada mulut harimau itu nanti,” kata seorang tua yang menjelma tiba-tiba.

Budak itu bertekad. Harimau dari gunung itu mesti diajar. Dia mengambil upah menjaga sekawan kerbau kepunyaan seorang kaya yang lain. Sampai ketikanya, seekor harimau yang besar datang. Budak itu dengan berani pergi kepada harimau itu.

“Kamu pencuri bedebah mesti diajar!” kata budak itu dengan berani. Harimau yang besar itu tergamam. Dia memikirkan budak itu lebih kuat daripadanya.

Budak itu menyapukan getah pada mulut harimau. Apabila getah itu kering, harimau tidak boleh membuka mulutnya. Kuku harimau itu juga disapu getah. Ia tidak dapat mengeluarkan kukunya.

Budak itu juga mengikat kaki harimau. Apabila getah itu kering, harimau tidak boleh membuka mulutnya. Kuku harimau itu juga disapu getah. Ia tidak dapat mengeluarkan kukunya.

Budak itu juga mengikat kaki harimau. Hari telah malam, dia memanggil semua orang kampung datang. Orang kampung sangat hairan melihat keberanian budak itu.
Budak itu berkata kepada harimau yang sudah terbaring tidak bergerak, “Mulai malam ini, kamu jangan ambil binatang peliharaan orang kampung.”

Harimau itu dibiarkan di situ sehingga tengah hari esoknya. Apabila matahari memancar, getah itu pun cair. Harimau melarikan diri kerana ketakutan. Sejak itu tiada lagi harimau datang membaham binatang ternakan di kawasan itu.

Pengajaran :

1. Jangan menganiaya orang lain.

2. Usaha tangga kejayaan.

3. Jangan mudah putus asa.
-

SUMPAHAN ULAT TANAH











Hampir seminggu Tuan Peladang duduk termenung. Musim kemarau memusnahkan tanaman diladangnya. Tanah menjadi kering-kontang. Tuan Peladang melihat air simpanannya di dalam tempayan cuma tinggal separuh sahaja lagi. Dia khuatir jika keadaan kemarau terus berlarutan, ini akan mengakibatkan dia mati kehausan.

Seekor lembu kepunyaan Tuan Peladang berada di kandang. Sang Lembu gembira kerana tidak perlu bekerja di ladang sejak musim kemarau melanda. Namun demikian, kegembiraan lembu itu tidak lama kerana musim kemarau itu menyebabkan rumput-rumput segar yang menjadi makanannya kering dan mati. Kini sukar bagi Sang Lembu itu mendapatkan rumput yang segar.

Pada suatu hari Sang Lembu mengambil keputusan untuk meninggalkan Tuan Peladang. Seboleh-bolehnya Sang Lembu ingin membuat sesuatu untuk mengubat kesedihan Tuan Peladang. Pada suatu malam, Sang Lembu telah keluar meninggalkan kandangnya. Sang Lembu berjalan untuk mencari sumber air. Setelah jauh berjalan, Sang Lembu terjumpa dengan sebuah perigi. Sang Lembu berfikir, tentulah perigi itu mempunyai air tetapi sungguh malang nasibnya kerana tiada air di dalam perigi tersebut. Sang Lembu berasa sedih dan duduk di tepi perigi buta itu sambil mengenangkan nasib yang bakal manimpa dirinya.

Sewaktu Sang Lembu duduk ditepi perigi itu, dia terdengar satu suara memanggilnya.
“Siapa?” Sang Lembu bertanya kehairanan.

“Aku, ulat tanah di dalam perigi buta ini.”

“Buat apa kamu di dalam perigi ini?” soal Sang Lembu lagi.

“Ini rumahku Sang Lembu. Sudah lama aku di sini sejak perigi ini kering airnya.”

“Tapi bagaimana kamu boleh hidup tanpa air di sini?” cetus Sang Lembu itu.

“Aku akan memberitahu kamu kenapa aku boleh hidup di sini tetapi kamu mestilah berjanji denganku terlebih dahulu.”

“Cakaplah saja dan aku akan berpegang pada janji-janji kamu itu.”

“Aku tahu kamu dan Tuan Peladang menghadapi masalah kekurangan air. Aku boleh tolong mengatasi masalah tersebut.” Sang Lembu tertawa. Dia tidak percaya dengan ulat tanah. “Dengarlah dulu kata-kata aku ini. Janganlah mentertawakan aku pula,” marah ulat tanah.

“Aku minta maaf Sang Ulat. Cakaplah aku bersedia mendengarnya.”

“Sebenarnya tanah di dalam perigi ini tetap lembap. Kalau digali pasti akan mengeluarkan air. Air perigi ini akan penuh semula. Justeru itu aku boleh berikan perigi ini kepada kamu dan Tuan Peladang. Tetapi sebagai ganjaran kamu hendaklah menyuruh Tuan Peladang menanam tanam-tanaman seperti sayur-sayuran di sekitar perigi ini. Aku dan kawan-kawanku akan berpindah dari perigi ini tetapi tidak jauh dari kawasan ini juga.”

“Terima kasih atas pertolongan kamu itu Sang Ulat. Tapi kenapa tuan aku mesti menanam tanaman di kawasan perigi ini?”

“Itu sebagai ganjaran kepadaku. Kamu hendaklah merahsiakan perkara ini dan tidak memberitahu sesiapa pun tentang perigi ini. Berjanjilah kamu akan menyuruh Tuan Peladang menanam sayur-sayuran di sini.”

“Baiklah. Terima kasih di atas pertolongan kamu itu wahai Sang Ulat.”

“Ah! Perkara biasa saja. Bukankah kita hidup perlu saling tolong-menolong.”

Sang Lembu pulang dengan hati yang girang. Didapatinya Tuan Peladang masih duduk termenung. Sang Lembu terus menceritakan tentang penemuan perigi itu kepada Tuan Peladang. Mendengarkan cerita Sang Lembu, tanpa berlengah-lengah lagi Tuan Peladang membawa cangkul dan tangga ke perigi yang dikatakan oleh Sang Lembu.

Tuan Peladang turun ke dalam perigi menerusi tangga yang dibawanya dan terus mencangkul tanah di dalam perigi tersebut. Tidak berapa lama kemudian, mata air mulai muncul di permukaan tanah.

Hati Tuan Peladang bertambah riang. Air mulai memenuhi perigi itu. Tuan Peladang menepuk-nepuk belakang Sang Lembu yang berjasa terhadapnya. Walaupun begitu Sang Lembu tidak memberitahu siapakah yang mengesyorkan agar Tuan Peladang menanam sayur-sayuran di kawasan perigi itu. Tuan Peladang pula tidak banyak soal dan bersetuju dengan pendapat Sang Lembu untuk menanam tanam-tanaman di kawasan itu. Ini akan memudahkan lagi baginya mendapat bekalan air.

Beberapa bulan kemudian, sayur-sayuran tersebut tumbuh dengan suburnya. Tuan Peladang berasa sangat gembira. Di samping itu, Tuan Peladang juga menperolehi pendapatan daripada hasil menjual air. Semakin bertambah lumayan pendapatan Tuan Peladang.
Pada suatu hari, Tuan Peladang datang ke kawasan perigi untuk memetik sayur-sayurannya tetapi alangkah terkejutnya Tuan Peladang apabila mendapati sayur-sayurannya terkorek di sana-sini. Tuan Peladang menuduh Sang Lembu memakan dan merosakkan tanaman yang ditanamnya. Sang Lembu tidak mengaku bersalah. Tuan Peladang semakin marah dan memukul belakang Sang Lembu sekuat-kuat hatinya. Sang Lembu menjerit kesakitan dan terpaksalah dia berterus-terang. Mendengarkan cerita Sang Lembu, Tuan Peladang rasa tertipu.

Tuan Peladang tidak mempercayai bahawa ulat tanah boleh membantu memberikan air. Tuan Peladang mencari ulat tanah di merata-rata tempat. Beberapa kawasan tanah digali oleh Tuan Peladang. Akhirnya Tuan Peladang berjumpa dengan sekelompok ulat tanah. Tanpa membuang masa lagi, Tuan Peladang mengambil racun lalu disemburkannya ke arah ulat-ulat tersebut. Banyaklah ulat tanah yang menjadi korban.

Seekor ulat tanah sempat melarikan diri. Ulat tanah itu tahu Tuan Peladang tidak berhati perut dan mengenang budi. Ulat tanah bersumpah untuk membalas dendam. Ulat tanah tidak mahu melihat Tuan Peladang dan Sang Lembu di kawasannya lagi. Sememangnya Sang Ulat Tanah menyimpan kemarahan yang amat sangat.

Tiba-tiba air perigi menjadi kering kembali. Habis kesemua tanaman Tuan Peladang terkulai layu. Tuan Peladang tersentak melihat perubahan yang mendadak itu. Dia berasa sangat menyesal kerana membunuh ulat-ulat tanah. Sang Lembu pun turut bersedih mengenangkan bencana yang bakal diterimanya nanti. Dari satu arah Sang Lembu terdengar suara Sang Ulat Tanah berkata sesuatu.

“Tidak semua orang itu boleh dijadikan kawan. Lebih baik hidup bersendirian dari berdampingan dengan orang yang tak tahu mengenang budi.”

Kini Sang Lembu mengerti tentang kesilapannya. Dialah yang patut disalahkan kerana memberitahu Tuan Peladang tentang ulat tanah yang tinggal di kawasan itu.

Pengajaran :

1. Sudah terhantuk baru terngadah.

2. Janji mesti ditepati.
-
 

Tidak ada komentar:

Posting Komentar